MEDIA PROJEK IQRA`

Laporan Acara Shopping Raya 2012 Bersama Baitul Ehsan


Pada 4 Ogos 2012, seramai 48 orang sukarelawan telah datang ke Baitul Ehsan yang terletak di Taman Maluri untuk bersama-sama meraikan 64 orang anak-anak Baitul Ehsan dalam acara Shopping Raya. Sebanyak 28 buah kenderaan tersusun rapi di Jalan Wirawati 6 menunggu untuk membawa kesemua anak-anak ini membeli persiapan Aidilfitri di Tesco Ampang.

Anak-Anak Baitul Ehsan yang terdiri daripada seawal usia 5 tahun hinggalah 22 tahun ini telah mula berkumpul seawal jam 9 pagi. Begitu juga dengan para sukarelawan yang telah datang seawal jam 8.30 pagi untuk menyertai program ini. Program ini bukan sahaja disertai oleh sukarelawan beragama Islam malah juga disertai oleh sukarelawan berbangsa cina iaitu saudara Edward dan Kevin yang telah sudi meluangkan masa menyertai program ini.

Tepat jam 9 pagi, program bermula dengan pendaftaran nama sukarelawan kemudian diikuti oleh ucapan aluan oleh pengetua Baitul Ehsan iaitu Tuan Hj Omar. Wakil Projek Iqra’ iaitu Saudara Maman Solleh turut menyampaikan penerangan mengenai Projek Iqra’ selama 5 minit kepada para sukarelawan sebelum taklimat program disampaikan oleh Saudari Sharifah Sharina Syed Aswad. Taklimat meliputi aspek keselamatan, pembahagian sukarelawan kepada anak-anak Baitul Ehsan, perbelanjaan, tempoh program, koordinasi pergi dan balik dari Baitul Ehsan ke Tesco Ampang dan lain-lain lagi. Selepas selesai taklimat, setiap ketua kereta sukarelawan dipanggil untuk mengambil anak angkat yang ditugaskan kepada mereka. Ketua kereta perlu menandatangani borang mengambil anak Baitul Ehsan dan penerimaan wang belanja Shopping Raya yang telah diperuntukkan sebanyak RM100 seorang kanak-kanak.

Selepas itu, sukarelawan tersebut dan anak Baitul Ehsan jagaan mereka beredar ke ruang khas dimana foto mereka diambil oleh fotografi bertugas iaitu Saudara Ridhuan untuk menyimpan rekod sukarelawan dan anak angkat mereka. Selepas selesai pembahagian tersebut, semua sukarelawan dan anak Baitul Ehsan beserta pengurusan Baitul Ehsan dan Projek Iqra’ ke padang bola didepan rumah Baitul Ehsan untuk sesi fotografi.

Selepas itu, kesemua 28 buah kereta mula bergerak ke Tesco Ampang. Team Projek Iqra’ juga ke sana untuk mengawasi program disamping mengambil foto dan video.

Anak-anak Baitul Ehsan ini yang pada mulanya kelihatan malu-malu mula menunjukkan kemesraan seolah-olah mereka telah lama kenal dengan para sukarelawan. Mereka diberikan kebebasan memilih apa sahaja yang mereka kehendaki asalkan menepati bajet yang diperuntukkan. Namun ramai sukarelawan yang telah dengan senang hati menambah bajet tersebut dengan wang mereka sendiri supaya anak-anak jagaan mereka dapat memiliki apa yang dihajati.

Antara insiden lucu ialah ada kanak-kanak kecil mahu membeli body spray Manchester United. Apabila ditanya tahu atau tidak menggunakan body spray, mereka hanya tersengih sahaja. Barangkali mereka hanya mengenali logo pasukan bolasepak ternama itu sebenarnya berbanding fungsi produk. 2 orang ustaz dari Baitul Ehsan turut menyertai kami di Tesco Ampang bagi membantu jika ada sebarang masalah yang mana Alhamdulillah tiada langsung berlaku.

Ada juga yang anaknya terlalu kecil hinggakan saiz kasut tiada disitu. Ada yang mencari seluar tapi tiada saiz. Ada yang mahukan jaket untuk hari raya dan macam-macam lagi. Sukarelawan melayan mereka dengan senang hati dan penuh sabar. Ada juga yang memberitahu itulah kali pertama mereka membeli-belah di pasaraya kerana lazimnya mereka memakai sahaja apa yang diberikan kepada mereka samada sumbangan pakaian baru mahupun pakaian terpakai.

Mana-mana sukarelawan yang telah selesai membeli-belah tidak perlu menunggu yang lain. Boleh terus pulang ke Baitul Ehsan dan menandatangani borang serahan anak-anak jagaan mereka kepada Baitul Ehsan. Team Projek Iqra’ yang paling akhir meninggalkan Tesco Ampang setelah mengenalpasti semua sukarelawan telah pulang. Kami berkumpul semula di Baitul Ehsan untuk memastikan kesemua anak-anak telah selamat pulang sebelum kami menutup program tersebut.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada kesemua 48 orang sukarelawan yang hadir dan kepada semua penyumbang yang telah menyumbangkan wang bagi menjayakan program ini. Sebahagian sumbangan diberikan kepada Baitul Ehsan untuk perbelanjaan lain seperti membayar bil air dan elektrik, diberikan kepada program Shopping Raya Rumah Anak Yatim At-Taqwa yang diketuali oleh Norazlina Ibrahim di Puchong dan juga disumbangkan kepada ibu tunggal anak satu yang tinggal di Sri Rampai, KL.

Jumlah Sumbangan Yang Berjaya Dikumpulkan: RM12,500

 

Proses Agihan Sumbangan Adalah Seperti Berikut:

Bajet Shopping Raya Baitul Ehsan: RM7500

Sumbangan Shopping Raya Rumah Anak Yatim At-Taqwa: RM1500

Sumbangan Shopping Raya Ibu Tunggal & Anak di Sri Rampai: RM200

Sumbangan Kepada Baitul Ehsan: RM3300

JUMLAH: 12,500

Jemput tonton foto dan video program dibawah ini:
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.467556539930069.118175.370598346292556&type=3