MEDIA PROJEK IQRA`

Pelajar Singgit


#2 : Pelajar Singgit

Saya merupakan pengusaha kafeteria di sebuah pusat pengajian tinggi. Setiap kali melihatkan ada pelajar yang hanya mampu membungkus nasi berlaukkan kuah dan telur setiap hari, hati saya akan jadi hiba. Walaubagimanapun kadang-kala saya akan menghulurkan lauk ayam kepada mereka tetapi masih mengenakan caj yang sama sekiranya mereka mengambil lauk kuah dan telur.

nasi

Walaubagaimanapun di dalam ramai-ramai pelajar itu ada seorang pelajar ini yang berasal daripada Terengganu. Kami menggelarnya sebagai pelajar seringgit. Ini kerana setiap hari, pelajar ini akan makan 1 hari sekali dengan hanya mengambil nasi ‘segunung’ dengan kuah sahaja. Kadang-kadang saya perhatikan pelajar ini memandang kepada pinggan rakan-rakannya yang dipenuhi dengan *pelbagai lauk dan malangnya lauk-lauk yang pelbagai jenis itu tidak dihabiskan.

Pada suatu hari kami terdetik untuk memberikan pelajar ini lauk tanpa mengenakan sebarang caj. Pelajar ini sangat terharu dan menawarkan dirinya untuk membantu kami mencuci pinggan. Alhamdulillah sedekah kami berupa lauk kepada pelajar ini digantikan dengan bantuan untuk meringankan kami dengan mencuci pinggan. ‘Bantuan tenaga juga merupakan 1 rezeki yang wajar kita syukuri, kerana rezeki bukan hanya dinilai di dalam bentuk wang. Ianya datang dengan pelbagai perkara dan sekiranya diamati secara lapang dada sebenarnya sangat banyak nikmat rezeki yang seharusnya kita syukuri’. Sejujurnya kami tidak mengharapkan beliau untuk membuat kerja-kerja sebegitu, walaubagaimanapun mungkin pelajar ini akan rasa lebih dihormati kerana dia mempunyai maruah untuk tidak meminta-minta.

*diharapkan saya dan pembaca budiman dapat mengajar anak-anak kita supaya lebih prihatin dengan rakan sebaya disekeliling mereka. Ya benar, anak-anak kita berbelanja menggunakan wang yang kita beri tetapi tidak salah sekiranya kita dapat melatih mereka untuk prihatin dengan rakan-rakan sekeliling. Tidak salah sekiranya mereka yang mempunyai pelbagai jenis lauk menawarkan 1 lauk daripada pinggan mereka itu untuk kawan-kawan yang berhampiran dengan mereka.

**cerita ini dikongsikan oleh seorang pengusaha cafeteria pusat pengajian tinggi. Saya memohon para pembaca budiman untuk mendoakan perniagaan beliau maju dan semoga lebih banyak pelajar-pelajar seperti cerita di atas ini dapat dibantu.
~ Mata pena MIZUDA

*saya juga mengalu-alukan kesudian pembaca budiman sekalian untuk berkongsi cerita-cerita yang berkaitan dengan keajaiban bersedekah ini, supaya ianya dapat dikongsi dan mungkin dapat memotivasikan lebih ramai orang untuk bermurah hati menghulurkan sedekah. Pengalaman-pengalaman anda itu boleh dikongsikan kepada saya di alamat email berikut [email protected]